SEJARAH PENUBUHAN

MRSM GEMENCHEH

MRSM Gemencheh adalah MRSM yang ditubuhkan di Malaysia yang menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia yang kelapan. MRSM Gemencheh merupakan MRSM yang ketiga ditubuhkan di Negeri Sembilan. Ia merupakan salah sebuah institut pendidikan di bawah kelolaan MARA selain daripada MRSM Kuala Klawang dan MRSM Serting serta Kolej MARA Seremban. MRSM Gemencheh yang berkeluasan 56 ekar terletak kira-kira 11 km dari pekan Gemencheh. Kapasiti pelajar adalah seramai 840 orang, dengan 510 orang pelajar  menengah rendah (tingkatan 1 hingga 3) dan 330 orang pelajar menengah atas (tingkatan 4&5).

              MRSM Gemencheh mula beroperasi pada 18 Disember 2006 tetapi pengambilan pertama pelajar-pelajar bermula pada 16 April 2007  dan pengambilan kedua pada 7 Mei 2007. Pengambilan pertama pelajar tingkatan 1 adalah  seramai 120 dan tingkatan 4 seramai 240 orang. Bilangan guru ketika itu adalah 56 orang guru dan staf seramai 25 orang. 

              Hasil cetusan idea  daripada Pengerusi MARA  YB. Dato Seri Idris bin Jusoh pada bulan September 2008, lahirlah MRSM Ulul Albab di MRSM Kota Putra pada tahun 2009 dan di MRSM Gemencheh pada tahun 2010 serta MRSM Kepala Batas pada 2011 dan MRSM Sungai Besar pada 2016. Matlamat Program Ulul Albab ini adalah untuk melahirkan generasi Al-Quran yang beriman, bertaqwa, berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan, bertanggung jawab dan dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara serta melahirkan pelajar-pelajar  yang berlatar belakangkan Sains dan Tahfiz Al-Quran yang dapat memenuhi syarat untuk memenuhi pengajian dalam bidang profesional dan teknikal di mana-mana universiti tersohor di seluruh dunia.

              Ketika ini MRSM Gemencheh mempunyai pelajar yang mengikuti program Ulul Albab seramai 832 pelajar (tingkatan 1 Hingga 5). Jumlah guru juga telah meningkat kepada 104 orang dan staf seramai 32 orang. Semoga MRSM Gemencheh akan terus bersinar sebagai sebuah institusi pendidikan MARA yang sentiasa berdaya saing dengan konsisten di persada negara dan dunia.